Tuesday, 31 March 2015

Hari Pertama GST

Hari-hari yang lepas, Gem 6 dan Gem 7 sangat banyak bertanya tentang GST. Tanya Gem 7, "Baikkah GST?". Saya jawab ... "tidak, untuk pengguna". Banyak barang akan naik harga dengan   dengan penambahan kos GST. "Even the food at the canteen?", tanyanya lagi. "Yes", jawab saya pendek. Agaknya setelah sekian lama GST disebut-sebut.. ia satu hari yang ditunggu. Apa akan terjadi. Ia isu yang menggusarkan banyak pihak.. termasuk si kecil ini yang berfikir secara logik. 

GST.. cukai untuk semua. Kaya atau miskin ia tidak mengenalinya lagi. Saya sudah bosan mendengar iklan GST yang memujuk bahawa harga barangan tidak naik. GST baik untuk semua... bla.. bla...  Hakikatnya banyak harga barang dan perkhidmatan akan naik. Di pagi-pagi yang mulia ini.. apabila ke satu kedai untuk sarapan, ianya disambut dengan "Dear Customer... our new price will include 6% GST....".

Di sisi Tuhan.. apa hukum GST? Satu kezaliman untuk golongan miskin yang untuk mengisi perutpun  sangat berkira-kira. Jika tidak pernah melihat insan miskin dalam seumur hidup (kerana hidup dianugerah Tuhan kaya raya..) sila baca blog rakan sekolah saya ini.. lihatlah dalam sendu hakikat sebenar kehidupan kebanyakan rakyat Malaysia .... warga negara pengeluar minyak dunia - moniermatdin.blogspot.com

Mood - "feeling hopeless".

 

Sunday, 1 March 2015

Gem 5 ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah

Pada 25hb. Februari 2015, akhirnya hajat kami untuk menghantar Gem 5 ketika di dalam Tingkatan 4 ke asrama penuh telah dimakbulkan Allah. Sudah tentu ia tidak mudah. Kegetiran PT3 seperti menggambarkan tidak ada peluang bagi Gem 5 untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh. Ketika keputusan PT3 merudum, syarat untuk kemasukan ke MRSM dan SBP tidak berubah. Kononnya ia diambilkira. Tetapi realitinya ia tidak begitu.

Perasaan cemas ketika keputusan GAGAL untuk ke MRSM diterima.. tidaklah dapat digambarkan. Apatah lagi apabila menalipon ke pihak MARA, si penjawab talipon berkata.. kalau begitu anak anda juga gagal untuk ke sekolah asrama yang lain kerana syaratnya mesti mendapat A di dalam matapelajaran Matematik dan Sains. Pemberitahuan itu seakan meruntuhkan kesemua harapan. Tetapi, jauh di sudut hati hanya percaya kepada kuasa Kun-Fa-Kun Allah. Biar apapun apa halangan yang datang, jika ditakdirkan Allah, ia tetap milik kita.

Akhirnya, pada 30hb Januari, dapatlah keputusan Gem 5 diterima ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah. Ia tidak ada di dalam senarai pilihan. Saya cuba mencari-cari maklumat tentangnya. Terjumpa satu blog bekas pelajar menceritakan kehidupannya di sana. Ah... Allah Maha Berkuasa. Dia memakbulkan doa-doa hambaNya. Dia memberi lebih dari apa yang yang diminta.

Slogan sekolahnya yang akan mendidik anak lelaki untuk menjadi wali keluarga yang berguna, amat menarik perhatian. Wajib sembahyang fardu di surau 5 x sehari. Wajib sembahyang Dhuha ... wow! Ia tidak mampu dilakukan oleh Gem 5 di rumah. Ruang sekitar banyak godaan dan hasutan. Maka, dengan itu kami amat berbesar hati dan bersyukur tidak terhingga kerana Allah memberi Rahmat yang tidak diduga. Benarlah.. apabila kita berdoa, kita hanya meminta semoga Allah memberikan yang terbaik untuk kita. Jika kita menyatakan sangat jelas itu dan ini.. mungkin yang kita sangat-sangat minta itu tidak terbaik untuk kita!

Pun begitu... ketika selesai hari pendaftaran... air mata seakan bergenang. Kerana berita gembira ini tidak dapat dikongsi lagi dengan ibu tercinta. Selalunya .. apa-apa sahaja yang berlaku akan dilaporkan pada Mak. Mak akan tersenyum gembira. Mak akan memberi nasihat itu dan ini. Al Fatihah untuk Mak. Berehatlah di sana.. di alam yang kekal abadi. Semoga anak cucu Mak mampu menitip hadiah saban masa untuk Mak bergembira di sana.

Sunday, 25 January 2015

Mak Dalam Kenangan

Pada pukul 2.40 petang, tanggal 20hb Januari 2015, Mak kembali ke alam barzah. Sudah setahun lebih Mak tidak dapat berjalan akibat patah pada pangkal tulang pehanya ketika bangun untuk ke bilik air. Walaupun, tulang sudah bercantum, Mak tetap kesakitan tidak boleh bangun . Sekitar sebulan kemudian, barulah diketahui sendi tulang peha Mak terkeluar. Pun begitu, kerana sebulan menahan sakit dengan membengkokkan kaki, maka kakinya terbengkok terus sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi.


Mak tidak mengidap penyakit berat. Tetapi akhir-akhir hayatnya, beliau sering diserang demam dan sangat tidak berselera untuk makan. Maka, selama mak sakit, kami berusaha pulang ke kampung. Kadang-kadang apabila keadaan mengizinkan, kami pulang hampir setiap minggu. Mak selalu berkata.. mak tak sakit apa.. jangan pulang selalu. Tetapi, kami pulang juga. Apabila pulang, Mak akan lebih ceria.

Dua minggu lepas, kesihatan Mak makin merosot. Setiap hari akan demam dan kakinya lenguh dan kejang. Mak sudah tidak mampu untuk bangun dan dibersihkan untuk setiap waktu sembahyang. Sembahyangnya pun sambil tidur sahaja. Alhamdullillah.. Mak istiqamah. Dalam tangisan sakit dan lenguh kaki, Mak teruskan jua solatnya. Patuh menunggu waktu seterusnya. Jika kuat, Mak akan mengqadak sembahyangnya yang lampau. Kerana kesukaran Mak untuk ke bilik air dan tidak mahu menyusahkan anak-anak, Mak menahan wuduknya dari Zohor sehingga ke Isyak. Dia inginkan begitu. Begitulah yang diturut.

Seminggu lepas, kakak ada beritahu .. Mak makin tidak keruan. Rutinnya tidak boleh diatur lagi. Kadang Mak ingin berwuduk tetapi hanya membasuh tangan sahaja. Apabila bercakap di talipon, Mak cuba mengerang kesakitan lenguh kakinya. Tidak mahu berbicara lagi. Lalu, saya berkira-kira, apabila tugas hakiki selesai, saya ingin bercuti panjang untuk berada di sisinya. 

Tanggal 20hb Januari itu sangat sibuk. Ada kertas kerja yang hendak dihantar, ada laporan pelajar yang hendak dibaca, ada 2 kertas kerja perlu disemak dan ada 4 projek yang perlu diperiksa. Semuanya perlukan keputusan yang segera. Tetapi, sebelum bertolak ke tempat kerja, Gem 1 mengingatkan ... "Dah talipon Mak?" Selalu saya akan menalipon Mak pada sebelah petang. Tapi, pada hari itu saya terus menalipon kakak. Kakak memberitahu Mak sedang tidur. "Nak dengar Mak berdengkur?", tanya kakak. Tidak pernah saya menalipon Mak untuk mendengar dengkuran tidur Mak. Namun pada pagi itu saya dengan cepat menjawab, "Nak". Lalu, corong talipon kakak hadapkan ke Mak. Terdengarlah dengkuran halusnya. "Alhamdullillah", Kata saya. Apabila Mak berdengkur, bererti Mak boleh tidur dengan selesa dan akan hilang lenguh kakinya untuk sementara. "Oklah... hari Jumaat ni kami balik lagi", kata saya sambil mematikan talipon.

Sesampai di pejabat, saya seperti tidak boleh berfikir. Wajah Mak sentiasa ada di mata. Sudah dua tiga hari hati saya seakan tidak putus menyatakan doa yang serupa, "Ya Allah.. aku bermohon semoga Engkau tidak mengambil nyawa ibuku sehingga beliau layak  untuk ke syurgaMu". Entah kenapa .. doa itu seperti tidak mahu pergi. Ketika rakan sekerja ajak berbincang, saya tidak banyak bercakap. Dia terpaksa mengulang-ulang isu yang sama. Selepas itu, dia mengajak saya melihat projek pelajarnya. Sayapun mengikut. Sesampai di sana, barulah saya perasan saya perlu memeriksa 3 lagi projek pada hari yang sama! Alahai...

Selesai melihat projek, saya sempat berbincang dengan semua penyelia terbabit. Kemudian, terus semula ke bilik untuk menyelesaikan laporan. Ketika asyik bekerja, tiba-tiba ada panggilan talipon dari anak buah, Ajun. "Mak su dok buat apa?", tanyanya berbasa-basi. "Dah ada orang talipon Mak Su?". "Nak bagi tau .. Tok dah tak dak!". Allahuakbar... saya terus mendail Gem 1. Talipon Gem 3 yang sedang praktikal di Damansara. Talipon Gem 4 yang berada di Beranang. Proses mengutip anak-anak menjadikan kami tiba di kampong sekitar pukul 12.30 malam. Rumah terang benderang. Mak diletakkan di atas katil bercadar putih. Apabila diselak kain penutup muka Mak ... wajah Mak nampak seperti tersenyum. Seakan menggambarkan "Ahhh leganya...". Legalah Mak dari kesakitan dunia. Semoga Mak berada di singgahsana di alam sana. Rahmatilah ibuku Ya Allah.

Kata kakak, Mak meninggal dengan cara yang sangat mudah (bertahun-tahun kakak bekerja di unit ICU hospital, maka kakak menyaksikan pelbagai cara kematian). Mak seperti ingin tidur lena. Kata rakan sekolah yang mengetuai mandian Mak... Mak bersih dan sangat lembut. Kain kafan Mak berlebih-lebih. Alhamdullillah. Alhamdullillah.

Janggalnya rasa tidak beribu. Hilanglah satu punca rahmat dan keberkatan.

Pesan untuk diri sendiri ..... mudah-mudahan tidak lupa sehingga ke akhir hayat.. untuk menitipkan hadiah untuk Mak dan Ayah di alam sana. Semoga kita berjumpa semula di Syurga Firdaus. InsyaAllah.

Sunday, 18 January 2015

Koni dalam Kenangan

Semalam dapat berita... rakan sekerja di Arau dulu telah kembali ke rahmatullah. Kali terakhir berjumpa (mungkin tahun lepas), nampak mukanya tiada gundah gulana. Tidak tahu rupanya beliau menderita penyakit berat. Koni masih muda. Terbayang-bayang wajahnya yang ceria.

Akhir-akhir ini banyak berita kematian yang diterima. Rata-rata diakibatkan oleh penyakit cancer. Allahuakbar. Ia menyerang siapa saja .. tidak kira tua atau muda.

Kematian. Menyebutnya pun takut kerana sedar diri kurang beramal. Pun begitu, ia pasti datang.. bila? Di mana? Kenapa? Hanya Tuhan yang tahu.

Al-Fatihah Koni. Semoga kita dipertemukan di Syurga Firdaus.

Wednesday, 14 January 2015

15/01/15

Tarikh cantik. Ia tidak akan berulang. Meskipun blog sudah bersawang... digagahkan jua untuk melakar tarikh itu di sudut ini.

Monday, 22 December 2014

PT3 YANG CACA MERBA

Hari ini ambil keputusan PT3 untuk anak.

Peperiksaan PT3 menggantikan PMR.

Semasa di tingkatan 1 dan 2, anak-anak ini diwar-warkan TIDAK AKAN MENGAMBIL PEPERIKSAAN BERTULIS.

TIBA-TIBA...4-6 bulan sebelum peperiksaan tahun ini... diumumkan akan ada peperiksaan bertulis (TERMASUK SEMUA DARI TINGKATAN 1,2 dan 3).

Ibu bapa yang siuman menggeleng-geleng kepala. Terkejut. Panik.

Format kertas bagaimana? Tanya ibu bapa.

Kata guru,"Kamipun tidak tahu.. akan diberi kursus nanti".

Selepas bersusah 4-6 bulan, hari ini keputusan PT3 diterima.

Guru besar memberi taklimat bagaimana markah dikendalikan. Kata Guru Besar, "Pihak atasan meminta markah mentah. Diharapkan ia akan dianalisa seperti biasa. Tetapi, markah itu hanya disahkan tanpa mengambil kira pencapaian murid untuk seluruh Malaysia. Yang sedihnya, markah 69 kekal 69. Ia bersamaan dengan C. Markah 79 kekal sebagai 79. Ia bersamaan dengan B.

Air mata saya mengalir laju.

Saya tidak sedih memikirkan keputusan anak saya.

Tapi saya sedih melihat satu sistem pendidikan dan peperiksaan yang caca merba. Seperti tidak masuk akal. Sistem ini juga bakal diharungi oleh anak saya yang seterusnya pada tahun hadapan. Atau sistem berubah LAGIII???

Ramai yang berkata ... Apalah ada pada PT3 sehingga perlu beremosi. Jika anda tidak mempunyai anak yang mengambil PT3 atau menjadi guru yang mengajar PT3, DIAMLAH! KOMEN ANDA TIDAK RELEVAN kerana anda tidak mengharungi pahit getirnya selama 3 tahun.

Benarlah kata sahabat saya.. malangnya anak kita yang dilahirkan di dalam tahun 1999. Kerana mereka lah yang merasa kekalutan bersekolah. Dari Bahasa Malaysia menjadi Bahasa Inggeris kemudian kembali ke Bahasa Malaysia. Ia seperti pasir yang berubah setiap kali bah!

 
Mood: feeling angry, frustrated and hopeless with the system created by my own nation!!!

Wednesday, 12 November 2014

Caca Merba

Dunia sudah menjadi caca merba. Tidak perlu melihat jauh, ia ada di sekitar kita. Dapat dilihat dengan mata dan kepala. Hari-hari yang berlalu kini menyesakkan fikiran dan perlukan sangat pada dakapan iman. Takutlah pada Allah. Kerana DIA lah Tuhan kita untuk dulu, kini dan selamanya.

Maka, jika takut pada NYA. Jika gentar pada KemarahanNYA. Ikutlah hukum Allah.

Benarlah, di akhir zaman, manusia akan keliru. Tidak tahu yang mana benar, dan yang mana palsu.

Sudah lama tidak mengikuti berita radio, tv dan surat khabar. Kerana tidak tahu yang mana benar, dan yang mana palsu.

Ya Allah ... bantulah kami untuk tidak keliru dan berada di atas landasan agamaMu sehingga ke nafas yang terakhir.