Tuesday, 1 March 2016

Empayar Kita

Perkataan empayar seperti sangat jauh dari kita. Seperti jauhnya langit dari bumi. Dulu-dulu terpaksa belajar mata pelajaran sejarah... maka ketika itu perlu mempelajari empayar-empayar yang terdahulu seperti empayar kesultanan Melaka. Sudah tentu, bagi saya, empayar itu umpama cerita-cerita sejarah yang tidak wujud pada hari ini.

Malangnya, kewujudan empayar sentiasa silih berganti sehingga ke hari ini. Lihatlah bagaimana Mark Zuckerberg membina empayarnya melalui 'Facebook'. Bill Gates dengan 'Window' nya, Steve dengan 'Apple' nya. Empayar mereka menakluki sepelusuk dunia. Kadang-kadang, keinginan untuk menjadi seperti mereka ada... cuma keupayaan saja yang tiada.

Pun begitu, sebagai seorang Muslim, kita tidak dapat lari dari membina empayar sendiri. Di alam abadi nanti, hanya kita dan empayar kita yang berdiri untuk diadili. Penghujungnya hanya ada dua pilihan, antara syurga yang hidupnya bersenang-lenang atau neraka yang hidupnya sentiasa terseksa.

Siapakah yang berada di dalam empayar kita untuk di alam sana? Seluruh keturunan di atas kita dan di bawah kita. Rekod anak, cucu, cicit, mak, ayah, datuk, nenek moyang dan yang seumpamanya saling berkait dalam perkiraan dosa dan pahala.

Sungguh... sekiranya kita membayangkan empayar yang abadi itu.. sudah tentu kita sangat berkira tentang agama, asal dan keturunan, perilaku dan tata susila. Segala-galanya tentang ahli keluarga yang kita ada. Sempurnakah solat kita dan mereka? Sempurnakah puasa kita dan mereka? Hati wajib tertanya-tanya di manakah tahap keimanan dan keislaman kita dan mereka. Sesungguhnya.. kita dan mereka adalah di dalam empayar yang sama di alam sana yang kekal abadi. 

Sunday, 28 February 2016

Interaksi Secara Maya

Dulu-dulu, hampir keseluruhan interaksi sesama kita dilakukan secara bersemuka. Bersembang, berlawak jenaka, menasihat, membebel, marah, mengajar ... hampir keseluruhannya secara berdepan. 

Masa sudah merubahkan sebahagian besar norma kehidupan kita. Ketika kita saling berdepan, kita kerap benar melakukan perkara tadi bersama dengan rakan maya yang entah di mana. Masing-masing mengusung pelbagai gajet peribadi dengan aktiviti tersendiri ketika kita berhadapan dengan individu lain di depan mata.

Rupanya, ia bukan setakat aktiviti komunikasi sosial sahaja secara maya. Rupa-rupanya termasuk aktiviti harian yang rasmi. Contohnya, minggu lepas, saya bertemu kali pertama dengan pelajar sarjana yang baru mendaftar. Itulah mungkin perjumpaan pertama dan terakhir. Selepas itu, komunikasi semuanya berjalan secara maya. Saya cuma mengenali mereka melalui rentetan email. Barangkali, rupa bentuk tidak lagi penting, yang penting nama pada email yang dirujuk.

Sungguh.. masa merubah segalanya.. banyak perkara yang nyata, hanya menjadi maya. 

Saturday, 13 February 2016

Ketika Sedang Diuji

Ketika jalan di hadapan kabur, dan tiada jalan pilihan, maka dunia seperti ada sekatan. Bila sesekali terasa begitu.. teringat kisah lampau yang sentiasa menjadi inspirasi untuk diri sendiri.

Suatu masa dulu, ketika berhempas pulas mencari idea untuk menyelesaikan masalah penyelidikan, saya telah temui jalan yang sangat buntu. Seperti tidak ada sebarang penyelesaian langsung. Ketika program komputer yang ditulis memerlukan masa 10 tahun untuk mampu memberi jawapan, penyelia pula sangat mendesak untuk menambah bilangan data sehingga ke angka juta. Pada saat itu, saya hanya mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan ratusan sahaja! Jauh sekali bilangannya di antara keupayaan sendiri dengan kehendak penyelia yang seakan tidak mengerti. Ketika itu, saya terasa dunia sudah kelam. Jalan di hadapan berbalam-balam. Tidak langsung nampak jalan. Keluh kesah tidak terhingga sambil mengadu nasib kepada yang Esa. "Tolonglah hambaMu ini... yang buntu ilham. Tolonglah hambaMu ini yang dunianya sekarang sangat kelam"... begitulah yang dirayu. Bertalu-talu. Terutama ketika terjaga di tengah malam. 

Ketika melalui hari-hari yang sangat duka. Ketika hampir putus asa. Allah memberi jalan keluar dan memudahkan segalanya.

Ketika ini saya kira saya sedang berdepan dengan kepekatan malam dan jalan yang berbalam-balam. Jika dulu hidup sedih dan berkeluh kesah... hari ini saya tenang sekali. Kerana saya pasti Allah sedang menguji. Dan Dia sedang Memerhati. PadaMu ya Allah segalanya kami menyerah. Terangkanlah jalan di hadapan yang kelam.... Semoga ada cahaya di sebalik jalan yang berbalam-balam.

Tuesday, 2 February 2016

Idola yang Telah Tiada

Sesekali teringat idola yang telah tiada. Tidak pernah bertemu. Cuma saban minggu dulu-dulu sering membaca tulisannya di dada akhbar. Ruang di akhbar itu tidak banyak untuknya. Namun, dari tulisan pojok itu saya memerhati keindahan sesuatu yang sangat rutin. Dari tulisannya, banyak mengajar nikmat solat dan mengajak melakukan solat malam. Dari penceritaannya, indahnya komunikasi individu simple ini dengan Tuhannya di sepertiga malam. Penceritaannya tentang komunikasi itu menjadi inspirasi yang tidak ternilai. Kini, idolaku telah tiada. Sumber inspirasi yang hilang, tidak nampak ada pengganti.

Selalu tertanya-tanya apakah yang akan dilontarkan jika dia masih ada. Tentang isu itu dan tentang isu ini. Jawapannya sangat lantang dan berani. Islam yang ditunjuknya sangat indah bersama implementasi. Kini, suara lantang itu hilang bersama idolaku yang telah tiada.

Tuesday, 26 January 2016

Liaw 35 @ Saloma Bistro

Adakah perkataan 'liaw" dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak tahu. Yang pasti, itulah perkataan yang digunakan oleh budak-budak MRSM Kulim satu ketika dulu. Istilah yang menggambarkan keluar secara 'haram' dari maktab. Lama saya telah melupakan kehidupan di MRSM Kulim dulu. Tidak banyak perkara untuk dikenang selain dari belajar, makan dan tidur. Sangat tidak aktif ketika itu. Atau tidak pandai menjalani aktiviti sosial.

Setelah beberapa kali tidak ambil peduli kenangan lama, akhirnya saya terpanggil untuk pertemuan semula dengan rakan seangkatan batch 81-85 atau dikenali dengan nama Kulima. Akhirnya kami bertemu di Saloma Bistro yang pemiliknya rupa-rupanya merupakan rakan sekelas. Alahai... bertemu semula selepas mengikat persahabatan tersirat menjangkau jangka 35 tahun! Ramai benar yang saya tidak kenali lagi. Masing-masing ada yang kembang ke depan, kiri atau kanan. Atau ada yang sudah luruh rambut atau rambut sudah keputihan. Saya kira ramai di antara mereka  yang sudah menginjak tahap jutawan. Memiliki perniagaan yang maju atau menerajui organisasi yang hebat. Pun begitu, definisi kejayaan sudah tentu berbeza. Kerana kita masing-masing dihujani dengan ujian yang berbeza oleh yang Maha Pencipta. Lalu, nilai kejayaan kita berbeza dalam konteks yang berbeza.

Pada malam itu paling lucu.. semuanya bersikap keanak-anakan. Benarlah kata seseorang yang didengari sayup-sayup... "Malam ini kita telah melupakan angka usia kita". Ya.. riuh rendah dengan usikan dan ketawa. Si Nakal zaman itu bangun memohon ampun dan maaf. Malah kedengaran pertanyaan dari yang menjadi mangsa "kenapa hang kata aku...". Jawab Si Nakal... "Mana aku tahu... sudah 35 tahun berlalu!" Aduhai... kesakitan dan kepayahan masa lampau bertukar menjadi manis di saat usia sudah menginjak tua.

Tidak habis di situ, semua rakan-rakan perempuan diajak bermalam di rumah salah seorang dari peserta. Aduh! Hebatnya kondo mewah dia. Terpacak di tengah-tengah kota raya, berlatarbelakangkan bangunan KLCC yang sangat cantik melatari panorama malam. Kata Gem 1, nilainya melebihi 6 Juta... Bertuahlah badan si pemiliknya. Siapa tahu.. tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia terselindung di sebalik takdir. Sepanjang malam itu, kami menongkat mata  untuk tidak lena. Berceloteh sehingga menjelang dinihari. Agaknya masing-masing hanya tidur sekitar sejam sahaja. Kami menyambung semula celoteh sehingga pukul 10 pagi dan pulang bersama cenderahati yang menarik.

Anehnya kehidupan masa lalu. Persahabatan yang diikat tetap semarak dan tidak rapuh ditelan zaman. Semoga persahabatan ini berterusan di bawah lindungan Ilahi. Pun begitu... di sebalik riuh rendah.. saya merenung wajah-wajah di depan mata mata satu per satu. Siapa sangka.. siapa sangka nasib kita ketika ini jika berbanding dengan masa silam yang suram? Sesungguhnya Allah Pemilik semua yang ada... Hanya DIA yang mampu Memberi kepada sesiapa yang disukaiNya. Jadilah hamba yang Disuka... 

Tuesday, 19 January 2016

Sudah Setahun Berlalu

Rupa-rupanya sudah setahun Mak berada di alam lain. Tidak sangka pula semalam bermimpi bersama-sama Mak  dalam mimpi yang panjang.

Al-Fatihah untuk Mak tersayang.. damailah Mak di sana.

Sunday, 17 January 2016

Syukur.. Kita Masih Punya Nyawa

Dua minggu lepas dimulai dengan berita kematian. Awal-awal pagi Isnin, berita kematian pertama diterima, suami rakan sekerja meninggal dalam usia yang muda. Melihat raut wajah rakan sekerja yang masih muda dengan anak-anak yang masih kecil, sangat memilukan. Tidak puas si anak bermanja dengan si ayah. Tidak puas si ayah memanjakan anak, bila tiba ketikanya, semuanya berpisah jua. Sedia atau tidak, rela atau tidak. Ia tetap dan pasti berlaku.

Selepas menziarahi kematian pertama, terima pula berita adik ipar Mak Som sedang sakit tenat. Mak Som sekeluarga sangat dekat di hati. Mak Som merupakan pengasuh setia keempat-empat anak kami. Maka sesiapa yang ada kena-mengena dengan Mak Som, kami anggap jua seperti saudara mara sendiri. Ketika berkira-kira untuk menziarah pada petang hari Selasa, petang itu juga diterima berita kematiannya. Ketika menziarah ke rumahnya, jenazah baru tiba dari hospital.  Lalu, Gem 1 memberi isyarat untuk tunggu sehingga jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan, selepas Isyak. Ketika itu baru sekitar pukul 4.30 petang. Saya masuk ke rumah, tanpa mengenali sesiapa yang lain. Mengambil tempat di sudut rumah yang hujung. Saya kira anak-anaknya sudah besar belaka. Tetiba, saya melihat kelibat seorang budak lelaki kecil di sisi jenazah. Tingginya, keletahnya, saiz tubuhnya seperti Gem 7. Sesekali air matanya mengalir laju. Sesekali tangannya mengusap-usap kaki arwah ibunya. Dari perbualan sekelililing... anak bungsu arwah ini sangat manja dengan ibunya. Tidurpun masih dipeluk ibu. 

Tanpa disedari, air mata saya mengalir sangat laju. Teresak-esak di sudut rumah itu. Kali ini saya seperti mencipta senario baru. Seolah-olah sayalah yang mati ketika itu. Aduh... apakah saya sudah melakukan semua kewajipan?. apakah saya sempat mengucap kalimah shahadah? Apakah yang saya rasa ketika itu.. adakah saya sedang meminta-minta ihsan Allah supaya diberi nafas barang seketika untuk menyebut SubhanAllah.. kerana ketika itu saya sudah nampak balasannya yang tidak terkira banyak? Atau adakah saya ketika itu memohon ihsan untuk dihidupkan semula.. untuk menghargai apa sahaja yang ada di depan mata? Apakah saya juga sedang meminta-minta untuk hidup barang seketika, mencium sepuas-puas hati anak yang sedang mengusap kaki ketika itu?

Lalu, saya melihat pula telatah anak yang baru yatim itu. Apakah yang dirasanya? Barangkali beliau akan sanggup dileteri sepanjang hidup asalkan ibunya hidup kembali. Atau mungkin sanggup mengerjakan apa sahaja suruhan ibu selamanya.. jika ibu dapat hidup semula.

Dari jauh saya memerhati di sebalik deraian air mata. Sesekali, saya terlihat anak sulungnya memandang ke arah saya dengan kehairanan. Siapa saya? Bukan kerabat atau sedara mara. Bukan sahabat atau rakan sekerja. Tetapi air mata yang gugur sama sepertinya ... anak sulung arwah si mati. Dia tidak mungkin akan tahu yang ketika itu saya meletak diri saya sebagai jenazah ibunya. Yang sedang diulik oleh anak-anak-anak sendiri.

Ekor mata saya sentiasa menuruti kelibat anak bungsu arwah si mati. Melihat dia bertafakur di sisi si mati. Melihat dia diajak untuk melihat ibunya dimandikan. Melihat dia diajak menyembahyang jenazah ibunya. Melihat dia ke van jenazah mengiringi ibunya untuk kali terakhir. Esakan saya semakin tinggi.. sehingga kelibatnya hilang di dalam kepekatan malam.

Ketika masing-masing beredar... saya seperti terjaga dari mimpi dan rasa amat bersyukur kerana saat ini saya masih punya nyawa. Satu pemberian Allah yang sangat berharga dan semakin menuju ke saat akhir. Ayuh... kerana kita masih punya nyawa... kita masih punya kesempatan untuk mengumpul dana hidup di alam sana.

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (79)", Al-Isra', Ayat 79.

Semoga kediaman akhir kita semua di Syurga paras tinggi. Aamiinn.