Biar masa beredar
Sekali kali tidak terlambat
Untuk membina impian baru
Allah Maha Mendengar
Biar masa beredar
Sekali kali tidak terlambat
Melangkah satu persatu
Menuju istana yang terhampar
Tahukah kamu?
Bahawa Allah telah menyediakan dua darjat Syurga
Syurga yang teristimewa adalah untuk kekasih-kekasihnya
Syurga kedua untuk golongan kanan - yang beramal dan bertakwa untuk Tuhan yang Satu
Tidak terlambat
Sekali-kali tidak terlambat
Untuk ingin bertamu di laman syurga itu untuk selamanya
Tidak terlambat
Sekali kali tidak terlambat
Melangkah satu persatu
Ke arah itu ....
Tuesday, 21 April 2015
Monday, 6 April 2015
Ia Tidak Bersisa
Umur anugerah Allah yang paling istimewa. Berapa lama kita akan hidup? Tidak tahu? Kisah helikopter terhempas seperti bertubi-tubi mengingatkan cukupkah bekalan? Bayangkan.. gambar-gambar terakhir disiarkan. Muka yang ceria ... makan-makan dan minum-minum. Ambil gambar. Tidak ada siapa yang menyangka itulah makanan dan minuman yang terakhir. Itulah gambar yang terakhir. Umur... ia tidak bersisa.
Ya Allah.. Ya Rahman.. panjangkanlah umur kami dalam iman.
Wednesday, 1 April 2015
Lihatlah Tanda-Tanda: Surah Al-Waqiah
Usia menghampiri setengah abad. Bertahun mendengar komen bahawa cantiknya bahasa al-Quran, namun kecantikan itu tidak dapat dirasa. Buta bahasa. Tidak pandai. Mengarang adalah satu proses yang menyiksakan. Dulu selalu dimarah guru. Beberapa kali mengoyak buku tulis, karangan tidak jua dapat disiapkan. Kadangkala buku tulis hampir terkoyak rabak kerana kekerapan memadam. Sukar rupanya untuk menulis karangan. Kesukaran itu sangat terasa apabila perlu menulis thesis PhD. Tulis berkali-kali. Tidak menepati intipati. Hujah yang lemah. Susunan yang caca merba.
Kini, setelah berjaya menulis thesis dan menghasilkan dua buah buku ("A Priceless Princess" dan "Seek the Signs of Allah"), tiba-tiba rasa cinta dan teruja untuk menghalusi keajaiban al-Quran dari sudut penulisan. MasyaAllah... hebatnya susunan struktur ayatnya. Hebatnya susunan isinya... Sungguh... aku menyaksikan bahawa ia bukan tulisan manusia. Ia dari Yang Maha Esa.. Tuhan yang Satu Pencipta kita.
Minggu lepas berkesempatan mendengar penjelasan tentang Surah Al-Waqiah dari Imam Zia, Imam Masjid Irving, Texas. Kenapa dari beliau? Kerana cara penyampaiannya yang jitu. Beliau ada mengupas dari sudut hujahan dan susunan ayat. Ia sangat menguja. Ia membuka mata hati saya untuk jatuh cinta kali pertama pada Al-Quran dari sudut penggunaan bahasa dan strukturnya ayatnya. Tafsiran beliau jelas dari satu ayat sehingga ke ayat ke seterusnya. Tidak melencong ke sana-sini.
Apa intipati surah Al-Waqiah:
- Ia menceritakan tentang Hari Kiamat yang pasti terjadi dan tidak dapat disangkal lagi pada hari kejadianNya.
- Pada hari itu manusia akan dibahagikan kepada 3 golongan:
Golongan pertama: Golongan yang hampir dengan Allah - golongan ini paling beruntung. Disediakan nikmat-nikmat tersendiri untuk mereka.
Golongan Kedua: Golongan kanan - juga golongan yang beruntung. Disediakan nikmat-nikmat tersendiri untuk mereka.
Golongan ketiga: Golongan kiri - golongan yang rugi. Disediakan azab dan sengsara yang pelbagai.
- Pada akhir surah ini, diulang semula secara ringkas tentang ketiga-tiga golongan ini.
...... cantiknya susunan karangan surah ini. Cubalah menulis beberapa karangan. Keperitan mendapatkan ilham, menyusun dan mencantikkan akan dirasai. Dan rasai bagaimana struktur karangan surah ini sangat jitu, kemas dan menarik. Ia menakjubkan.
Dalam surah ini Allah mengajak kita melihat KehebatanNya:
1. Pada kejadian bayi dalam rahim. Bagaimana ia terbentuk. Kitakah yang menentukan bentuk akhir bayi itu atau Allahkah yang membentuknya. Kitakah yang menentukan hitam putihnya, tinggi pendeknya, kurus gemuknya... fikirkanlah.. Sepanjang kehamilan, manusia hanya menjadi pemerhati dari sudut ultrasound. Tidak ada upaya untuk mengubah sebarang bentuk dan saiz. Kitakah yang menghidupkan atau Allah yang Menghidupkan - Mengadakan daripada yang tiada kepada ada?
2. Pada apa yang ditanam. Kitakah yang menumbuhkan atau Allah yang menumbuhkan? Kita hanya mampu berharap dan berserah agar apa yang ditanam menjadi. Tidak ada upaya sekalipun untuk menumbuhkan walau sekadar satu akar yang halus.
3. Pada air yang diminum. Kitakah yang menurunkan dari langit atau Allah Menurunkannya?
4. Pada api yang dihasilkan dari gesekan kayu. Kitakah yang menumbuhkan kayu itu atau Allah lah yang Menumbuhkan?
Jika tidak mampu melaksanakan satupun di atas ... apakah kita boleh mendabik dada atas nama kuasa? Sembahlah Allah. Hanya Dia Tuhan yang satu.
Tuesday, 31 March 2015
Hari Pertama GST
Hari-hari yang lepas, Gem 6 dan Gem 7 sangat banyak bertanya tentang GST. Tanya Gem 7, "Baikkah GST?". Saya jawab ... "tidak, untuk pengguna". Banyak barang akan naik harga dengan dengan penambahan kos GST. "Even the food at the canteen?", tanyanya lagi. "Yes", jawab saya pendek. Agaknya setelah sekian lama GST disebut-sebut.. ia satu hari yang ditunggu. Apa akan terjadi. Ia isu yang menggusarkan banyak pihak.. termasuk si kecil ini yang berfikir secara logik.
GST.. cukai untuk semua. Kaya atau miskin ia tidak mengenalinya lagi. Saya sudah bosan mendengar iklan GST yang memujuk bahawa harga barangan tidak naik. GST baik untuk semua... bla.. bla... Hakikatnya banyak harga barang dan perkhidmatan akan naik. Di pagi-pagi yang mulia ini.. apabila ke satu kedai untuk sarapan, ianya disambut dengan "Dear Customer... our new price will include 6% GST....".
Di sisi Tuhan.. apa hukum GST? Satu kezaliman untuk golongan miskin yang untuk mengisi perutpun sangat berkira-kira. Jika tidak pernah melihat insan miskin dalam seumur hidup (kerana hidup dianugerah Tuhan kaya raya..) sila baca blog rakan sekolah saya ini.. lihatlah dalam sendu hakikat sebenar kehidupan kebanyakan rakyat Malaysia .... warga negara pengeluar minyak dunia - moniermatdin.blogspot.com
Mood - "feeling hopeless".
Sunday, 1 March 2015
Gem 5 ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah
Pada 25hb. Februari 2015, akhirnya hajat kami untuk menghantar Gem 5 ketika di dalam Tingkatan 4 ke asrama penuh telah dimakbulkan Allah. Sudah tentu ia tidak mudah. Kegetiran PT3 seperti menggambarkan tidak ada peluang bagi Gem 5 untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh. Ketika keputusan PT3 merudum, syarat untuk kemasukan ke MRSM dan SBP tidak berubah. Kononnya ia diambilkira. Tetapi realitinya ia tidak begitu.
Perasaan cemas ketika keputusan GAGAL untuk ke MRSM diterima.. tidaklah dapat digambarkan. Apatah lagi apabila menalipon ke pihak MARA, si penjawab talipon berkata.. kalau begitu anak anda juga gagal untuk ke sekolah asrama yang lain kerana syaratnya mesti mendapat A di dalam matapelajaran Matematik dan Sains. Pemberitahuan itu seakan meruntuhkan kesemua harapan. Tetapi, jauh di sudut hati hanya percaya kepada kuasa Kun-Fa-Kun Allah. Biar apapun apa halangan yang datang, jika ditakdirkan Allah, ia tetap milik kita.
Akhirnya, pada 30hb Januari, dapatlah keputusan Gem 5 diterima ke Sekolah Menengah Sains Alam Shah. Ia tidak ada di dalam senarai pilihan. Saya cuba mencari-cari maklumat tentangnya. Terjumpa satu blog bekas pelajar menceritakan kehidupannya di sana. Ah... Allah Maha Berkuasa. Dia memakbulkan doa-doa hambaNya. Dia memberi lebih dari apa yang yang diminta.
Slogan sekolahnya yang akan mendidik anak lelaki untuk menjadi wali keluarga yang berguna, amat menarik perhatian. Wajib sembahyang fardu di surau 5 x sehari. Wajib sembahyang Dhuha ... wow! Ia tidak mampu dilakukan oleh Gem 5 di rumah. Ruang sekitar banyak godaan dan hasutan. Maka, dengan itu kami amat berbesar hati dan bersyukur tidak terhingga kerana Allah memberi Rahmat yang tidak diduga. Benarlah.. apabila kita berdoa, kita hanya meminta semoga Allah memberikan yang terbaik untuk kita. Jika kita menyatakan sangat jelas itu dan ini.. mungkin yang kita sangat-sangat minta itu tidak terbaik untuk kita!
Pun begitu... ketika selesai hari pendaftaran... air mata seakan bergenang. Kerana berita gembira ini tidak dapat dikongsi lagi dengan ibu tercinta. Selalunya .. apa-apa sahaja yang berlaku akan dilaporkan pada Mak. Mak akan tersenyum gembira. Mak akan memberi nasihat itu dan ini. Al Fatihah untuk Mak. Berehatlah di sana.. di alam yang kekal abadi. Semoga anak cucu Mak mampu menitip hadiah saban masa untuk Mak bergembira di sana.
Sunday, 25 January 2015
Mak Dalam Kenangan
Pada pukul 2.40 petang, tanggal 20hb Januari 2015, Mak kembali ke alam barzah. Sudah setahun lebih Mak tidak dapat berjalan akibat patah pada pangkal tulang pehanya ketika bangun untuk ke bilik air. Walaupun, tulang sudah bercantum, Mak tetap kesakitan tidak boleh bangun . Sekitar sebulan kemudian, barulah diketahui sendi tulang peha Mak terkeluar. Pun begitu, kerana sebulan menahan sakit dengan membengkokkan kaki, maka kakinya terbengkok terus sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi.
Mak tidak mengidap penyakit berat. Tetapi akhir-akhir hayatnya, beliau sering diserang demam dan sangat tidak berselera untuk makan. Maka, selama mak sakit, kami berusaha pulang ke kampung. Kadang-kadang apabila keadaan mengizinkan, kami pulang hampir setiap minggu. Mak selalu berkata.. mak tak sakit apa.. jangan pulang selalu. Tetapi, kami pulang juga. Apabila pulang, Mak akan lebih ceria.
Dua minggu lepas, kesihatan Mak makin merosot. Setiap hari akan demam dan kakinya lenguh dan kejang. Mak sudah tidak mampu untuk bangun dan dibersihkan untuk setiap waktu sembahyang. Sembahyangnya pun sambil tidur sahaja. Alhamdullillah.. Mak istiqamah. Dalam tangisan sakit dan lenguh kaki, Mak teruskan jua solatnya. Patuh menunggu waktu seterusnya. Jika kuat, Mak akan mengqadak sembahyangnya yang lampau. Kerana kesukaran Mak untuk ke bilik air dan tidak mahu menyusahkan anak-anak, Mak menahan wuduknya dari Zohor sehingga ke Isyak. Dia inginkan begitu. Begitulah yang diturut.
Seminggu lepas, kakak ada beritahu .. Mak makin tidak keruan. Rutinnya tidak boleh diatur lagi. Kadang Mak ingin berwuduk tetapi hanya membasuh tangan sahaja. Apabila bercakap di talipon, Mak cuba mengerang kesakitan lenguh kakinya. Tidak mahu berbicara lagi. Lalu, saya berkira-kira, apabila tugas hakiki selesai, saya ingin bercuti panjang untuk berada di sisinya.
Tanggal 20hb Januari itu sangat sibuk. Ada kertas kerja yang hendak dihantar, ada laporan pelajar yang hendak dibaca, ada 2 kertas kerja perlu disemak dan ada 4 projek yang perlu diperiksa. Semuanya perlukan keputusan yang segera. Tetapi, sebelum bertolak ke tempat kerja, Gem 1 mengingatkan ... "Dah talipon Mak?" Selalu saya akan menalipon Mak pada sebelah petang. Tapi, pada hari itu saya terus menalipon kakak. Kakak memberitahu Mak sedang tidur. "Nak dengar Mak berdengkur?", tanya kakak. Tidak pernah saya menalipon Mak untuk mendengar dengkuran tidur Mak. Namun pada pagi itu saya dengan cepat menjawab, "Nak". Lalu, corong talipon kakak hadapkan ke Mak. Terdengarlah dengkuran halusnya. "Alhamdullillah", Kata saya. Apabila Mak berdengkur, bererti Mak boleh tidur dengan selesa dan akan hilang lenguh kakinya untuk sementara. "Oklah... hari Jumaat ni kami balik lagi", kata saya sambil mematikan talipon.
Sesampai di pejabat, saya seperti tidak boleh berfikir. Wajah Mak sentiasa ada di mata. Sudah dua tiga hari hati saya seakan tidak putus menyatakan doa yang serupa, "Ya Allah.. aku bermohon semoga Engkau tidak mengambil nyawa ibuku sehingga beliau layak untuk ke syurgaMu". Entah kenapa .. doa itu seperti tidak mahu pergi. Ketika rakan sekerja ajak berbincang, saya tidak banyak bercakap. Dia terpaksa mengulang-ulang isu yang sama. Selepas itu, dia mengajak saya melihat projek pelajarnya. Sayapun mengikut. Sesampai di sana, barulah saya perasan saya perlu memeriksa 3 lagi projek pada hari yang sama! Alahai...
Selesai melihat projek, saya sempat berbincang dengan semua penyelia terbabit. Kemudian, terus semula ke bilik untuk menyelesaikan laporan. Ketika asyik bekerja, tiba-tiba ada panggilan talipon dari anak buah, Ajun. "Mak su dok buat apa?", tanyanya berbasa-basi. "Dah ada orang talipon Mak Su?". "Nak bagi tau .. Tok dah tak dak!". Allahuakbar... saya terus mendail Gem 1. Talipon Gem 3 yang sedang praktikal di Damansara. Talipon Gem 4 yang berada di Beranang. Proses mengutip anak-anak menjadikan kami tiba di kampong sekitar pukul 12.30 malam. Rumah terang benderang. Mak diletakkan di atas katil bercadar putih. Apabila diselak kain penutup muka Mak ... wajah Mak nampak seperti tersenyum. Seakan menggambarkan "Ahhh leganya...". Legalah Mak dari kesakitan dunia. Semoga Mak berada di singgahsana di alam sana. Rahmatilah ibuku Ya Allah.
Kata kakak, Mak meninggal dengan cara yang sangat mudah (bertahun-tahun kakak bekerja di unit ICU hospital, maka kakak menyaksikan pelbagai cara kematian). Mak seperti ingin tidur lena. Kata rakan sekolah yang mengetuai mandian Mak... Mak bersih dan sangat lembut. Kain kafan Mak berlebih-lebih. Alhamdullillah. Alhamdullillah.
Janggalnya rasa tidak beribu. Hilanglah satu punca rahmat dan keberkatan.
Pesan untuk diri sendiri ..... mudah-mudahan tidak lupa sehingga ke akhir hayat.. untuk menitipkan hadiah untuk Mak dan Ayah di alam sana. Semoga kita berjumpa semula di Syurga Firdaus. InsyaAllah.
Sunday, 18 January 2015
Koni dalam Kenangan
Semalam dapat berita... rakan sekerja di Arau dulu telah kembali ke rahmatullah. Kali terakhir berjumpa (mungkin tahun lepas), nampak mukanya tiada gundah gulana. Tidak tahu rupanya beliau menderita penyakit berat. Koni masih muda. Terbayang-bayang wajahnya yang ceria.
Akhir-akhir ini banyak berita kematian yang diterima. Rata-rata diakibatkan oleh penyakit cancer. Allahuakbar. Ia menyerang siapa saja .. tidak kira tua atau muda.
Kematian. Menyebutnya pun takut kerana sedar diri kurang beramal. Pun begitu, ia pasti datang.. bila? Di mana? Kenapa? Hanya Tuhan yang tahu.
Al-Fatihah Koni. Semoga kita dipertemukan di Syurga Firdaus.
Subscribe to:
Posts (Atom)