Sunday, 27 September 2015

Nostalgia 3 Ringgit Malaysia

Sepanjang 23 tahun perkahwinan, saya tidak pernah bersua dengan ibu mertua. Arwah ibu mertua dikhabarkan pulang ke Rahmatullah pada tahun 1990, bersamaan dengan Tragedi Muassim pada musim haji tahun tersebut. Beliau pergi mengerjakan haji tahun itu tanpa ayah mertua. Gesaan keinginan untuk mengerjakan haji kali kedua itu begitu kuat sehingga beliau tidak kisah jika pergi bersendirian.

Ketika kaum keluarga rasa syukur teramat kerana arwah ibu mertua terselamat daripada tragedi runtuhan terowong Muassim, tiba-tiba mereka menerima perkhabaran pula bahawa beliau meninggal di sana. Ia cuma demam-demam biasa. Namun, pemergian ibu mertua ke Rahmatullah sangat istimewa. Beliau meninggal di tempat yang istimewa selepas selesai mengerjakan ibadat yang istimewa, disembahyangkan oleh ratusan ribu manusia, jika tidakpun berjuta, dikuburkan pula di perkuburan Ma'ala - tempat persemadian ramai insan mulia.

Sudah tentu hati saya tertanya-tanya. Apakah amalan beliau yang istimewa di sisi Allah? Ada yang berkata, beliau sangat pengasih. Ada yang berkata beliau sangat rajin. Ada yang berkata beliau tidak meninggalkan sembahyang sunat Rawatib. Hakikatnya, tidak ada siapa yang benar-benar mengkaji kerana tiada siapa yang menyangka beliau akan mengakhirkan kehidupan dengan cara yang teristimewa.

Pada hari kedua Raya Aidil Adha yang lepas, seperti biasa kami akan berkampung di rumah pusaka mertua. Selepas pesta memasak dan memakan daging Qurban, kami semua bersantai-santai sebelum masing-masing pulang ke destinasi sendiri. Kali ini suasana meriah juga walaupun tidak dihadiri oleh Pak Dak dan Mak Dak (yang sedang mengerjakan haji) dan Mak Long (yang menjaga ibu tua). Ketika hari hampir senja, kami didatangi oleh seorang perempuan yang tidak dikenali. Katanya, beliau ingin berjumpa dengan Mak Cik empunya rumah ini. Sambungnya lagi, beliau selalu melintasi rumah ini, tapi tiada berpenghuni. Ditanya kenapa beliau sangat berhajat. Katanya, 34 tahun yang lalu, ketika beliau baru berkahwin dan singgah di rumah ini untuk menumpang tandas, beliau telah dihadiahkan RM3.00 oleh Mak Cik empunya rumah ini. Pemberian itu sangat berharga bagi beliau sehingga beliau bertekad akan membalas semula pada Mak Cik empunya rumah ini. 3 Ringgit Malaysia itu bukan hutang yang perlu dibayar. Ia hadiah.

34 tahun lalu apakah nilai 3 Ringgit Malaysia ketika itu? Apakah hajat yang telah dapat disempurnakan dengan hanya memiliki 3 Ringgit Malaysia  itu? Tidak tahu. Hanya Mak Cik si pemerima itu sahaja yang tahu. Ketika dikhabarkan kepada beliau bahawa Mak Cik empunya rumah ini sudah meninggal 25 tahun yang lalu, beliau menangis teresak-esak. Sedih kerana tidak sempat membalas jasa dan penghargaan.

Berpuluh tahun wanita ini dihambat rasa ingin membalas jasa. Pencariannya tamat ketika tahun Jubli Perak ibu mertua pulang ke Rahmatullah. Ia kelihatan seperti peristiwa kebetulan. Apakah ini jawapan pertanyaan yang sering bermain di minda saya bertahun-tahun? Apakah inilah amalan arwah mertua yang tampak sikit tapi sangat signifikan disisi Tuhan? Hanya Allah yang tahu. Nostalgia 3 Ringgit Malaysia .... sungguh istimewa. Ia seakan memberitahu insan-insan yang hadir ketika itu bahawa kita tidak tahu apakah sumbangan kita yang sangat menyentuh perasaan insan lain. Barangkali ia penyebab untuk mendapat kedudukan istimewa di sisi Tuhan. Siapa tahu?

Sunday, 23 August 2015

Segalanya Mungkin

Segalanya mungkin terjadi dengan Kun Fa Ya Kun Allah. Banyak perkara yang telah berlaku di dalam hidup kita di luar jangkaan. Kadang-kala kita sangat berharap untuk mendapatkan sesuatu pada saat-saat yang tertentu. Namun, harapan itu kerap kali hampa. Lain yang diharap, lain yang menjadi nyata. Suatu ketika dulu saya termasuk di antara manusia yang akan merasa kecewa kerana harapan-harapan yang musnah itu. Namun, pengalaman hidup banyak mengajar bahawa ubahan takdir itu terselindung seribu Rahmat Allah. Sungguh.. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Dialah Maha Perancang.

Akhir-akhir ini banyak perkara yang mengajar saya menjadi redha dengan ketentuan Allah yang berbeza dengan kehendak kita. Kita tidak tahu bahawa apa yang kita mahu sebenarnya akan memudarat kita di masa hadapan. Contohnya, Gem 5 amat berharap untuk ke sekolah asrama X. Sekolah berprestig dan mendapat tempat yang tinggi dalam carta kecemerlangan. Atau ke sekolah Y, yang juga mempunyai kedudukan yang tinggi di antara sekolah cemerlang. Tetapi, ditakdirkan Allah, Gem 5 hanya layak ke sekolah Z. Beberapa bulan kemudian, rakannya yang ke sekolah X telah menarik diri. Kata rakannya, hanya pembelajaran sahaja yang sangat dititikberatkan. Kebanyakan pelajar mengalami tekanan perasaan. Dua minggu lepas pula, sempat bersembang-sembang dengan ibu yang anaknya ke sekolah Y. Kata ibu tersebut anaknya juga mengalami tekanan kerana kemasukan pelajar yang ramai dan perlu berlumba-lumba untuk mendapat tempat di sesuatu kelab / pertandingan dan sebagainya. Sedangkan, Gem 5 hidup ceria di sekolah Z. Peluang terbuka untuk menceburi apa saja yang dikehendaki. Sekolah Z menitik beratkan pembelajaran. Tapi pada masa yang sama ia juga membimbing kemahiran lain.

Dua minggu lepas, Gem 6 pula perlu menghadapi ujian 'oral' untuk PT3. Setelah mendapat jadual dan nama guru yang akan terlibat, beliau susah hati tentang perkara itu. Guru yang diberi itu katanya garang dan kurang mesra. Lalu, kata saya marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah memudahkan.Selepas sessi 'oral', Gem 6 pulang ke rumah dengan wajah ceria. Katanya jadual 'oral' nya bertukar di saat akhir dan dia mendapat guru yang mengenali dan menyukainya. Allahuakbar... bukankah kita selalu mendengar... berdoalah.. kerana doa boleh menukar suratan takdir. Ia contoh yang ada di depan mata! Yakinlah.

Begitulah hidup ini... apa-apapun mungkin berlaku. Semoga yang segalanya mungkin itu bertukar menjadi Rahmat dari Allah untuk kita semua.

Sunday, 16 August 2015

Keupayaan... Antara Angan-Angan dan Realiti

Keupayaan sendiri, tiada siapa dapat menentukan dengan sah melainkan kita sendiri. Apa yang kita terdaya usahakan? Apa yang kita ingin lakukan? Kadang-kadang ianya bercampur-baur. Kadang kala kita sendiri tidak tahu yang mana satu.

Pertanyaan itu membuatkan saya menyusuri kehidupan lampau. Ketika bersekolah dulu, soalan yang paling acap ditanya oleh guru, ibu bapa dan orang dewasa ialah "Kamu nak jadi apa nanti"... "Apa cita-cita kamu"... dan soalan-soalan yang seumpamanya. Sehinggakan kitapun jadi gusar dan TERPAKSA mencari-cari jawapannya yang kita sendiripun tidak tahu apa maksudnya. Seingat saya pernah dulu saya menjawab... nak jadi cikgu.... nak jadi doktor... nak jadi angkasawan ... nak jadi saintis. Selepas berbolak-balik dari satu cita-cita ke satu cita-cita yang lain, akhirnya ia bertukar secara tiba-tiba ketika melihat satu iklan di atas meja di sebuah kedai yang memaparkan seorang wanita dan sebuah komputer. Di saat itu sayapun berkata... ya ... saya nak kerja serupa ini. Lintasan hati ketika itu terpahat menjadi cita-cita sejati yang diburu. Alhamdullillah. Allah telah makbulkan sejak hampir 22 tahun yang lalu.

Sewaktu kecil dulu tidakpun saya terfikir bahawa saya perlu membina cita-cita semula. Fikir saya setelah tercapai cita-cita yang diburu bertahun-tahun itu ia akan menjadi seperti cerita 'Cinderella'... iaitu "Happily Ever After"... kegembiraan selamanya. Rupa-rupanya ia tidak begitu. Ketika usia mengensot tua, kita akan sentiasa berhajat dengan pelbagai keinginan yang tidak berkesudahan. Contohnya seperti keinginan saya untuk menjadi seorang penulis. Dan keinginan itu tidak mati di situ. Jauh di sudut hati terpasang pula cita-cita baru... ingin pula menjadi penceramah berkaitan dengan buku yang ditulis! Begitulah manusia... mempunyai keinginan yang tidak bertepi. Lalu, keinginan itu datang dalam kilasan hati ketika berdoa. Siapa sangka waktu dan ketika bila doa dimakbulkan. Dalam banyak-banyak doa yang dipanjat, kilasan hati yang sebentar itu yang dimakbulkan Tuhan serta-merta.

Minggu lepas, kali pertama seumur hidup saya dilamar untuk menjadi penceramah untuk satu konvensyen besar. Katanya ianya melibatkan lebih kurang 1000 peserta! Alllahuakbar... Ketika mendapat berita itu.. saya bertafakur menghitung keupayaan sendiri. Ada waktunya kita bercita sangat-sangat tinggi dan melupakan realiti bahawa jika keinginan tersirat itu dimakbulkan Tuhan serta-merta, kita tidak ada upaya untuk mampu melaksanakannya. Harus mantapkan keupayaan... 'fighting'... 'fighting'...... 'fighting'! Sebenarnya... tentang keupayaan sendiri.. kita sendiripun tidak pasti.

Tuesday, 11 August 2015

Syawal dan Hujung Minggu

Syawal semakin hampir menghilang. Hujung minggu di dalam bulan Syawal penuh dengan jemputan; jemputan jamuan raya dan ada juga jemputan kahwin. Rekod hujung minggu kali ini ialah keluar rumah pukul 11.00 pagi dan pulang ke rumah semula pada dini hari pagi berikutnya. Sangat letih. Terasa perut kenyang dengan segala makanan yang caca merba.

Allahuakbar. Ketika negara kita dirundung malang yang tidak nampak jalan penghujung, masih ramai yang mampu berbelanja. Pun begitu, ketika sesekali membaca blog rakan MRSM Kulim, Encik Monier:  

sangat menginsafkan.. di kala ini, masih ramai yang amat payah untuk membeli sekilo beras buat santapan ahli keluarga. Raya bagi mereka sudah lama hilang. Di depan mata, adalah realiti kehidupan yang menggusarkan.
 

Wednesday, 29 July 2015

Meniti Hari Hari Gelap

Saat ini kita semua sedang mengharungi zaman gelap. Bukan kita tidak pernah melalui. Dulu pun kita lemah ekonomi sehingga hampir-hampir meminjam wang ceti antarabangsa. Tapi, ketika itu semua negara dilanda bencana. Hari ini negara kita saja menjadi miskin. Hutang berbilion-billion. Salah siapa. Khazanah bumi melimpah ruah. Balak, minyak, emas, sawit ..... hasilnya lesap entah ke mana. Seperti yang sering saya katakan... tanyalah tangan yang memangkah dan memilih pemimpin.. di situ ada yang terpalit sama. Tanyalah tangan-tangan anda....

Friday, 24 July 2015

Seperti Bulan dan Matahari

Tanpa kita sedari, kehidupan kita seperti bulan dan matahari. Biar bulan cemburu pada cahaya mentari yang mampu menyuluh bumi terang benderang. Atau mentari cemburu pada bulan yang dirindu pungguk. Tidak mungkin matahari akan menjadi bulan. Tidak mungkin bulan akan jadi matahari. Masing-masing punya orbit kitaran yang berbeza. Bulan beredar di atas landasannya. Matahari beredar di atas landasannya. Begitulah kita dan kehidupan. Masing-masing ada jalan dan takdir yang tersendiri.

Salah satu tazkirah Ramadhan yang lepas mengingatkan para jemaah tentang hakikat ini. Kita punya landasan hidup yang berbeza. Tidak wajar membanding-bandingkan diri dengan sesiapa. Perbandingan itu akan hanya mewujudkan tekanan perasaan semata-mata. Ia tidak ke mana. Pun begitu, itulah yang kita sering lakukan. Terutama ketika kita sedang diuji, kita akan memandang orang sekeliling dan mula membanding-banding. Selalunya, kita hanya membanding kepada yang lebih sahaja. Dari mula membanding-banding ini, kita akan mengajukan perbagai persoalan. Kalau terus dilayan, mungkin juga kita akan mempersoalkan takdir Tuhan. Yang miskin akan bertanya-tanya, kenapa si polan A itu kaya-raya. Kenapa aku asyik miskin saja? Atau yang sakit akan bertanya-tanya, kenapa si polan B sihat-sihat saja. Kenapa aku asyik sakit saja? Atau yang tiada zuriat akan bertanya-tanya, kenapa si polan C ada anak yang bilanganya sepasukan bola? Kenapa aku satupun tiada? Akhirnya, hati akan menjadi sakit dan longlai. Putus harap. Maka kerana itu, kita perlu memujuk hati bahawa masing-masing kita punya landasan hidup tersendiri. Seperti bulan dan matahari. Tidak mungkin, kita akan bertukar menjadi si polan A. Atau esok bertukar menjadi si polan B. Atau lusa, kita bertukar menjadi si polan C. Tidak mungkin itu terjadi. Ingatlah, kita ada landasan hidup kita yang tersendiri. Pahit, manis, sedih, gembira .... kita berjalan di atas hanya satu laluan yang unik. Mohonlah pada Allah banyak-banyak, semoga di landasan yang kita lalui ini ada RahmatNya di hadapan sebagaimana yang Dia telah anugerahkan pada si polan - si polan yang kita cemburui. Hidup lebih tenang begitu. Iman masih teguh jika kita mampu memujuk hati dengan itu.....

Wednesday, 22 July 2015

Ramadhan Telah Pergi

Ramadhan kali ini cepat benar berlalu. Tidak pernah merasa secepat seperti ini. Tidak sempat terasa penat, ia sudah pergi. Apakah jarum jam bergerak laju? Atau bumi berpusing lebih ligat? Hari ini.. ketika ramai masih cuti beraya, otak sedang menganalisa. Terasa sedikit pelik untuk Ramadhan kali ini. Pelik untuk seisi keluarga. 

Ramadhan kali ini ... kami tidak berkira-kira sangat dengan kedatangan Aidil Fitri. Tidak seperti tahun-tahun lalu. 

Ramadhan kali ini tidak langsung bersantai pada waktu berbuka di mana-mana majlis berbuka buffet di hotel-hotel.

Ramadhan kali ini tidak langsung bersantai di majlis berbuka sahabat handai atau kaum kerabat.

Tidak pernah rasanya melalui Ramadhan dengan ketakutan menerima mana-mana jemputan. Takut jika kalau-kalau dengan jemputan itu menghalang menghadirkan diri ke masjid untuk berterawih dan bertazkirah. Takut pada masa berbuka yang sangat singkat.. tidak berbaloi untuk berleka-leka dan membiarkan Ramadhan berlalu tanpa disantuni.

Tidak pernah rasanya melalui Ramadhan tanpa hiburan lagu-lagu raya. Tapi kali ini ia berlaku. Tidak sempat bersendu dengan lagu-lagu retro Dendang Perantau..atau Sepasang Kurung Biru. Tidak langsung terdengar lirik "minta mak kueh sepotong ....".

Ramadhan kali ini... biarlah ia berulang lagi untuk kesekian kali di tahun-tahun hadapan. Ya Allah .. temuikanlah kami pada Ramadhan yang akan datang. Aamiinn.

p/s: Aidil Fitri kali ini tanpa Mak di sisi. Satu keadaan yang tidak boleh dibayangkan sebelum ini. Balik kampung berhari raya tanpa ibu dan ayah untuk disantuni? Pun begitu, Aidil Fitri disambut jua secara tradisi. Berbaur di antara nostalgia kenangan lama. Aidil Fitri kali ini ... kali pertama melawat pusara Mak. Damailah Mak di sana, InsyaAllah.