Monday, 16 November 2015

Mencari Kekuatan

Pada 15 November 2015, saya hadir juga  ke The Straight Path Convention. Tapi kehadiran saya hanyalah sebagai peserta. Sepatutnya, jika saya ada keberanian, inilah konvensyen pertama yang membuka peluang kepada saya  untuk memberi ceramah pada khalayak ramai tentang buku yang ditulis. Ia konvensyen besar. Kata penganjur, 2000 tiket habis terjual. Ketika saya dan Gem 3 sampai, orang sedang berpusu-pusu menuju ke kaunter pendaftaran. Melihat gaya khalayak yang hadir, sempat saya membisikkan ke telinga Gem 3, jika saya hadir hari ini sebagai penceramah... mungkin saya akan pengsan berkali-kali. Saya boleh bayangkan kegemuruhan darah yang akan saya alami. Lalu, ketika saya mendapat tempat duduk di majlis itu, saya terus mengambil gambar pentas itu sebagai kenangan-kenangan. Melihat kedudukan pentas dan susunan khalayak penonton yang berbentuk separa bulat sudah membuatkan hati saya tidak putus bergetaran! Fuh!... saya bersyukur kerana tidak menerima pelawaan itu. Saya tidak menyangka hadirin yang penuh dari beraneka usia dan latar belakang.


Majlis dimulakan dengan ucapan dari Mufti Menk - salah seorang penceramah yang diminati. Selama ini saya hanya berpeluang mengikuti dari YouTube sahaja. Dua slot untuk beliau seperti tidak cukup. Penerangannya jelas dan logik. Tidak melalut dan tampak benar bersedia. Beliau ke pentas dengan menggunakan handphone sahaja. Ringkas dan mudah.

Penceramah kedua seorang lawyer. Saya kira beliau hadir ke pentas tanpa perlu gusar tentang apa-apa. Seorang lawyer pasti berani dan hebat berkata-kata. Pun begitu, ketika menjejak kaki ke pentas dan berhadapan dengan khalayak, suara beliaupun bergetar sambil berkata I'm trembling.. I'm trembling.. Beliau yang gagahpun mengambil masa beberapa minit di pentas untuk bertenang.

Datang pula penceramah seterusnya, seorang muallaf berbangsa Inggeris. Saya kira, penceramah kali ini tidak perlu gusar tentang apa-apa juga. Beliau sudah tentu fasih berkata-kata di dalam bahasa ibundanya! Pun begitu... suaranya bergetar juga. Dalam getaran itu beliau berkata berkali-kali I'm shaking.... I'm shaking.. I need chair to sit.. 

Maka, setelah selesai konvensyen itu pada waktu hampir Maghrib, saya keluar dari dewan itu dengan harapan baru.. Ya.. tidak mengapa untuk berasa gemuruh.. ia semulajadi tanpa mengira kekuatan seseorang.. Bolehkah pentas itu saya takluki satu hari nanti? Sedang mencari kekuatan diri...


Tuesday, 10 November 2015

Sekarang!

Empat hari yang lepas saya dikejutkan dengan kematian rakan sekerja yang hampir. Seperti tidak percaya. Berkali-kali saya membuka dan menutup semula whatapps. Seperti mencari-cari tentang kesahihan berita. Saya kira si arwah masih muda dan bertenaga. Beliau tidak kelihatan sakit. Kematiannya seperti satu penampar keras yang hinggap di pipi saya. Peringatan dari Allah agar tidak terleka.

Kerap benar kita berkata.. bila pencen nanti kita akan buat itu dan ini. Bila pencen nanti .. kita akan menjadi Muslim yang lebih baik. Lepas pencen nanti.. kita akan buat seribu kebaikan. Bila kita pencen... Namun, kita tidak tahu, apakah nikmat pencen itu adakah akan jadi milik kita? Hidup sangat singkat. Sedangkan esok belum tentu kita yang punya. 

Ketika terbayang-bayang rupa si arwah, lalu saya berpesan pada diri sendiri... jangan tunggu esok atau lusa untuk menyempurnakan tugasan hidup yang ditentukan Tuhan. Segalanya perlu dikatakan - "Lakukan SEKARANG!" ya "SEKARANG!" kerana sesungguhnya kita tidak tahu panjang manakah umur kita yang masih bersisa.

Thursday, 5 November 2015

Mencari Makna Bahagia

Dua hari lepas saya ditunjukkan oleh rakan sekerja satu video pendek temuramah seseorang dengan seseorang yang lain ala 'Oprah Winfrey Show'. Tidak tahu siapakah yang menemuramah dan siapakah yang ditemuramah. Tidak penting untuk diketahui. Yang penting isinya. 

Kata lelaki yang ditemuramah itu, untuk mencari bahagia perlu ada beberapa perkara. 

Perkara pertama, jaga hubungan baik dengan Tuhan. Hubungan yang baik ini akan menjadikan kita lebih rasa selamat. Jika ada apa-apa masalah, kita ada tempat mengadu. Lelaki ini bukan penganut Islam. Dia boleh berkata begitu. Apatah lagi kita sebagai seorang Muslim yang mengaku bahawa Allah Tuhan kita yang memiliki segalanya. Kita akan rasa selamat InsyaAllah dengan bertawakal hanya pada Allah. Menyandarkan segala kesulitan dan kesedihan.

Perkara kedua, jangan sandarkan kebahagian kita dengan siapa atau apa. Contohnya, kita hanya akan bahagia jika kita ada ibu bapa yang baik. Atau kita akan rasa bahagia jika kita berkahwin. Atau kita akan rasa bahagia jika kita mempunyai rumah besar. Jika kita begitu, kita tidak akan bahagia. Lalu, saya merenung pada diri sendiri. Sepanjang hidup ini, saya sering sandarkan kebahagiaan kepada sesuatu. Contohnya, saya akan bahagia jika saya mendapat PhD. Selepas mendapat PhD, saya sandarkan harapan kepada sesuatu yang lain pula. Akhirnya, kebahagian seperti fatamorgana (mirage), di tengah-tengah panas, dari jauh ia kelihatan seperti kelopak air yang mengiurkan, bila sampai, kelopak air langsung tiada. Ia hanya bayangan. Jadi, kata lelaki itu, jadikan kita sendiri sebagai pemilik kebahagian itu. Jika kita ingin rasa bahagia, kitalah yang patut meraihnya, tidak perlu kepada sesiapa atau sebarang peristiwa - "We own our happiness".

Perkara ketiga, jadikan kebahagiaan ada di sepanjang peristiwa hidup kita, bukannya di akhiran. Contohnya, kita sering berkata, kita akan bahagia selepas kita memiliki sesuatu. Sepatutnya, kita perlu berbahagia ketika kita sedang mengejar sesuatu, bukan sesudah itu. Seperti, suatu masa yang lama dulu, saya kira saya akan bahagia jika saya mempunyai anak-anak yang sudah dewasa. Mereka sudah berdikari dan tidak merengek meminta itu dan ini. Tetapi, kini, ketika kebanyakan daripada mereka sudah dewasa, barulah saya sedari bahawa kerenah mereka ketika kecil itu sebenarnya membahagiakan. Jika masa boleh diputarkan semula, saya ingin sekali menikmati hidup yang masa lalu itu.

Keempat, saya sudah lupa apakah istilah yang digunakan oleh lelaki itu. Tetapi, dari penceritaannya bolehlah saya simpulkan bahawa yang dimaksudkan beliau itu ialah 'redha'. Jika kita redha dengan suratan Allah, maka sesungguhnya dalam apa jua keadaan yang ditimpakan, kita akan merasa bahagia.

Manisnya kata-kata lelaki ini yang sesuai untuk diambil pengajaran!

Saturday, 31 October 2015

Rindukan Awan

Pernahkah anda merindukan awan? Tidak ada peribahasa orang tua-tua tentang rindu seperti itu. Yang ada cuma "seperti pungguk rindukan bulan". Bulan ialah satu objek tunggal.  Ia istimewa kerana padanya ada sinar, dan sinarnya mencantikkan malam. Bulan ialah satu objek statik sebab bentuknya tetap bulat walaupun ia boleh kelihatan di mata seperti berubah-ubah... ada anak bulan, bulan sabit, bulan separuh dan bulan mengambang. Sebaliknya, bentuk awan tidak tetap. Berubah-ubah bentuk dan kedudukan. Jarang manusia berkata rindukan awan kerana rupa bentuk dan parasnya.

Tetapi, sesiapa yang merasa sesak nafas untuk ke sekian masa yang panjang, bergelumang dalam jerebu, tiba-tiba terasa sangat rindukan awan. Nampak awan  di langit bererti tiada jerebu yang menyekat pemandangan. Dada terasa lapang. Beberapa hari lepas, ketika kali pertama nampak langit biru dan awan-awan berterbangan.. kedengaran diri sendiri dan rakan-rakan berkata ... uhhh Alhamdullillah dah nampak awan. Ya.. ketika waktu terhimpit dengan alam berjerebu.. ketika itu kita akur bahawa awan adalah rahmat Allah yang besar untuk seluruh manusia. Awan lambang rahmat hujan. Banyak kali di dalam Al-Quran Allah menyuruh manusia melihat kekuasaanNya dari kejadian awan dan hujan. Kadang-kadang kita terlepas pandang kerana kebiasaannya awan sentiasa ada di atas kepala. Bila awan hilang seketika... rupa-rupanya kita rindu padanya! Kita jadi rindu pada rahmat Allah yang satu itu. 

Tuesday, 20 October 2015

Hanya Satu Talian Hayat

Kita hidup di dunia hanya sekali. Itulah yang wajib dipercaya sebagai seorang Muslim. Susah, senang, sedih atau gembira akan bercampur baur semasa kita merentasi satu-satunya garis masa yang kita ada. 

Pernahkah kita ingin mendakap masa supaya ia tidak terlepas kerana pada ketika itu kita sangat bahagia? Tapi detik itu akan pergi jua. Terasa amat pantas. 

Pernahkah kita ingin menendang masa supaya ia cepat berlalu kerana pada ketika itu kita dirundung sedih dan kesukaran? Tapi detik itu tidak dapat diputar laju. Terasa amat perlahan.

Semalam, genap 9 bulan pemergian Mak ke Rahmatullah. Lalu, saya merenung kembali masa-masa yang telah berlalu bersamanya. Terasa benar, jika ada keupayaan ingin memutar kembali masa. Agar dapat menjadi seorang anak yang lebih baik. Dapat menyantuni Mak di saat-saat dia sangat memerlukan sebagaimana dia telah menyantuni saya yang melebihi jiwa raganya. Ketika akur bahawa kita tidak ada upaya untuk memutar kembali masa, maka kesedaran paling dalam pun timbul... sesungguhnya kita hanya ada satu kitaran masa yang hanya akan bergerak pantas menuju jalan penamat.  Beruntunglah sesiapa yang sentiasa memesan diri bahawa hidup kita dan hidup semua insan di sekitar hanya ada sekali. Mudah-mudahan kita sentiasa ingin jadi terbaik untuk setiap detik yang terlintas. Kita hanya ada satu talian hayat untuk disempurnakan. 

Wednesday, 7 October 2015

Untuk Cemerlang - Jaga Ibadah

Semalam, ketika dalam perjalanan ke pejabat, sempat terdengar ngomelan ringkas Dr. Fadzillah Kamsah, Pakar Motivasi, di radio Sinar, siaran retro. Dalam ramai-ramai pakar motivasi, saya kira Dr Fadzillah adalah antara golongan kecil pakar motivasi yang masih relevan walaupun telah lama di bidang ini. Ada segolongannya yang sudah pupus di tengah jalan. Apa kata Dr. Fadzillah?

Kata Dr Fadzillah, beliau pernah ditanya bagaimana untuk mendapat anak yang cemerlang? Kata pakar ini, jawapannya mudah. Ibu bapa perlu menjaga ibadah. Hubungan dengan Allah perlu sentiasa dijaga kerana Dia lah Pemilik semua jenis kecemerlangan yang ada. 

Saya bukan pakar motivasi. Tapi saya pernah ditanya soalan ini oleh anak-anak saudara. Barangkali, kerana sayalah satu-satunya ibu saudara yang masih punya anak-anak sedang bersekolah di dunia moden ini. Sudah tentu anak-anak saya bukanlah yang tergolong di kalangan yang muncul di dada akhbar kerana pencapaian akademiknya yang cemerlang. Pencapaian mereka biasa-biasa saja di mata masyarakat. Mungkin cuma di mata saya mereka istimewa. Misalnya, Gem 3 yang hanya kurang 9 bulan bertungkus-lumus menghadapi PMR ketika baru pulang dari Nottingham dulu. Beliau tidakpun mendapat 8A. Cuma 6A 2B. Pun begitu, keputusan itu saya anggap sangat cemerlang. Dengan serba kepayahan persekitaran, kehendak dan bahasa, beliau mampu memperolehi sebanyak itu. Atau seperti Gem 6, mendapat 5A di dalam UPSR sehingga mengejutkan guru-guru. Ya... kerap kali kecemerlangan itu seperti mimpi. Pada ketika kita hampir tidak mengharap, Allah memberi.

Bila Allah akan beri? Apabila hubungan kita denganNya dijaga. Bagaimana untuk menjaga? Lihat dan perhatikan ibadah asas kita - solat. Jika umur sudah melepasi sekolah menengah, solat tidak cukup 5 waktu sehari, maka apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Jika, solat Subuh jarang terjaga, maka, apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Dengan segala kemudahan canggih yang ada, tidak boleh solat Subuh atau berpura-pura tidak tahu.. maka Rahmat Allah yang mana akan datang? Jika sedang bersantai-santai ke sana ke mari, luput waktu solat tanpa diperduli, maka apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Jika anak tidak solat, dan  tidak berkata apa-apa, maka, apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? 

Pelik benar kerenah manusia ini. Jika dengan manusia, seringkali kita berlumba-lumba untuk mengambil kesempatan dengan adanya kroni. Untuk perniagaan, mahu ada kroni. Untuk projek, mahu ada kroni. Kadang kala untuk urusan hajipun, mahu ada kroni. Kenapa? Kerana dengan adanya kroni, kadang-kala kita diberi keistimewaan yang luar biasa. Sepatutnya, kita gagal, tiba-tiba kita berjaya kerana ada yang mengenali. Tapi, dengan Tuhan, tidak pula begitu. Bayangkan jika hubungan kita dengan Allah dijaga... apakah kita tidak istimewa di sisiNya? Jika kita istimewa, seluruh alam ini boleh jadi milik kita kerana Allah jualah PemilikNya. Dia boleh memberi kita apa saja dengan hanya "Kun Fa Ya Kun" - Jadilah, maka jadilah!

Maka benarlah kata pakar motivasi itu. Untuk anak cemerlang, untuk kita cemerlang, untuk hidup dan mati yang cemerlang, jawapannya hanya satu - JAGA IBADAH.
 

Monday, 5 October 2015

Fesyen: Jadilah Kamu - Kun Anta - Be Yourself

Perkataan fesyen banyak menyiksa hidup saya sejak dulu. Ia topik yang menakutkan bagi golongan yang tidak terdaya untuk mengikut peredaran semasa. Kerana fesyen, kita boleh merasa lebih yakin atau merasa sangat tertekan. Contohnya, jika kita menggayakan semua serba fesyen baru - kasut, baju, tudung, beg tangan... dan dipuji-puji, maka kita selalunya kita akan rasa teruja. Keyakinan diri meningkat tinggi. Jika sebaliknya, disindir kerana menggayakan fesyen lama, keyakinan diri akan menurun dan melibatkan sentuhan emosi. Percayalah... kerana fesyen, hidup kita sentiasa akan ditekan. Fesyen bertukar ganti sangat pantas, kerap kali kita tidak akan terkejar.

Dulu-dulu Mak dan Ayah tidak mampu menyediakan segalanya atas dasar mengikut peredaran fesyen. Maka, jika dianalisa dari sudut fesyen, saya akan sentiasa kalah. Kekalahan itu meresap dan meracun keyakinan diri. Bayangkan, Mak hanya membekalkan dua pasang baju kurung ketika mula-mula masuk ke asrama tingkatan satu. Warna dan corak usah dicerita.. tidak langsung mengikut apa-apa peredaran fesyen. Yang satu berjalur-jalur. Yang satu warnanya jingga menyinga. Itulah pasang baju yang diulang-ulang sepanjang tahun. Ketika rakan-rakan sibuk menggayakan dari satu gaya ke satu gaya, saya hanya terpinggir sebagai golongan minimalis. Meskipun ia sekadar fesyen, tetapi itu jugalah yang memisahkan antara dua darjat, antara yang ada dengan yang tiada.  Fesyen.. Ia lambang keberadaan.

Barangkali kedewasaan dan pengalamanlah yang mengajar dan menyedarkan bahawa kita akan sentiasa penat dan kalah kerana hendak mengikut fesyen. Apatah lagi jika kita perlu bekerja di khalayak ramai. Kadangkala, kita akan pakai apa yang sama dengan yang dipakai oleh khalayak di majlis yang sama. Kadangkala, kita membeli dengan harga yang mahal, di butik eksklusif ketika baru fesyen itu bermula. Tetapi, baru dua tiga bulan, fesyen itu sudah dijual di pasar malam. Ia perlumbaan yang tidak tidak ke mana. Maka, pada tahun 2010 dulu saya bertekad saya hanya akan memakai baju yang direka sendiri. Saya tidak perlu mengikut apa-apa fesyen terkini, tetapi memakai apa yang saya ingin memakai mengikut cita rasa sendiri. Akhirnya, ketika ini saya baru terasa rupa-rupanya saya sudah bebas dari perlumbaan fesyen itu. Dari setiap komen yang diterima, saya membuat analisa sendiri. Sebenarnya, nilai ringgit tidak ada kena mengena dengan cantik. Kerapkali ditegur, "Cantiknya baju.. bla..bla..", saya tersenyum sendiri, benarlah.. cantik tidak berkadar terus dengan mahal. Ia perlu kena dengan corak dan warna. Ia perlu kena pada rupabentuk sendiri - tinggi atau rendah, gemuk atau kurus. Itu sahaja. Ia bukan tentang fesyen terkini dengan harga yang mahal dan ekskusif. Rupa-rupanya kemurungan zaman remaja kerana tidak mampu untuk mengikut perkembangan semasa adalah sesuatu yang sia-sia.

Percayalah... kerap benar fesyen terkini yang cantik dan mahal itu, tidak sesuai untuk kita. Contohnya, jubah sang puteri yang bentuknya kembang meleret, tidak sesuai untuk si rendang dan rendah. Tetapi, dek kerana mengikut fesyen.. kita memakai juga. Apabila, kita mampu menganalisa diri sendiri... kita mungkin akan ketawa.. betapa lucunya perwatakan dan rupa  kita. Akhirnya, benarlah kata penyanyi itu... Kun Anta... Be Yourself.. jadilah kita sendiri tanpa mengikut sesiapa.. percayalah kita akan rasa teramat lega. Sesungguhnya, kita sudah terlepas untuk perlu berlumba dengan sesiapa sahaja. Satu perlumbaan yang kita tidak mungkin akan menang.