Tuesday, 26 January 2016

Liaw 35 @ Saloma Bistro

Adakah perkataan 'liaw" dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak tahu. Yang pasti, itulah perkataan yang digunakan oleh budak-budak MRSM Kulim satu ketika dulu. Istilah yang menggambarkan keluar secara 'haram' dari maktab. Lama saya telah melupakan kehidupan di MRSM Kulim dulu. Tidak banyak perkara untuk dikenang selain dari belajar, makan dan tidur. Sangat tidak aktif ketika itu. Atau tidak pandai menjalani aktiviti sosial.

Setelah beberapa kali tidak ambil peduli kenangan lama, akhirnya saya terpanggil untuk pertemuan semula dengan rakan seangkatan batch 81-85 atau dikenali dengan nama Kulima. Akhirnya kami bertemu di Saloma Bistro yang pemiliknya rupa-rupanya merupakan rakan sekelas. Alahai... bertemu semula selepas mengikat persahabatan tersirat menjangkau jangka 35 tahun! Ramai benar yang saya tidak kenali lagi. Masing-masing ada yang kembang ke depan, kiri atau kanan. Atau ada yang sudah luruh rambut atau rambut sudah keputihan. Saya kira ramai di antara mereka  yang sudah menginjak tahap jutawan. Memiliki perniagaan yang maju atau menerajui organisasi yang hebat. Pun begitu, definisi kejayaan sudah tentu berbeza. Kerana kita masing-masing dihujani dengan ujian yang berbeza oleh yang Maha Pencipta. Lalu, nilai kejayaan kita berbeza dalam konteks yang berbeza.

Pada malam itu paling lucu.. semuanya bersikap keanak-anakan. Benarlah kata seseorang yang didengari sayup-sayup... "Malam ini kita telah melupakan angka usia kita". Ya.. riuh rendah dengan usikan dan ketawa. Si Nakal zaman itu bangun memohon ampun dan maaf. Malah kedengaran pertanyaan dari yang menjadi mangsa "kenapa hang kata aku...". Jawab Si Nakal... "Mana aku tahu... sudah 35 tahun berlalu!" Aduhai... kesakitan dan kepayahan masa lampau bertukar menjadi manis di saat usia sudah menginjak tua.

Tidak habis di situ, semua rakan-rakan perempuan diajak bermalam di rumah salah seorang dari peserta. Aduh! Hebatnya kondo mewah dia. Terpacak di tengah-tengah kota raya, berlatarbelakangkan bangunan KLCC yang sangat cantik melatari panorama malam. Kata Gem 1, nilainya melebihi 6 Juta... Bertuahlah badan si pemiliknya. Siapa tahu.. tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia terselindung di sebalik takdir. Sepanjang malam itu, kami menongkat mata  untuk tidak lena. Berceloteh sehingga menjelang dinihari. Agaknya masing-masing hanya tidur sekitar sejam sahaja. Kami menyambung semula celoteh sehingga pukul 10 pagi dan pulang bersama cenderahati yang menarik.

Anehnya kehidupan masa lalu. Persahabatan yang diikat tetap semarak dan tidak rapuh ditelan zaman. Semoga persahabatan ini berterusan di bawah lindungan Ilahi. Pun begitu... di sebalik riuh rendah.. saya merenung wajah-wajah di depan mata mata satu per satu. Siapa sangka.. siapa sangka nasib kita ketika ini jika berbanding dengan masa silam yang suram? Sesungguhnya Allah Pemilik semua yang ada... Hanya DIA yang mampu Memberi kepada sesiapa yang disukaiNya. Jadilah hamba yang Disuka... 

Tuesday, 19 January 2016

Sudah Setahun Berlalu

Rupa-rupanya sudah setahun Mak berada di alam lain. Tidak sangka pula semalam bermimpi bersama-sama Mak  dalam mimpi yang panjang.

Al-Fatihah untuk Mak tersayang.. damailah Mak di sana.

Sunday, 17 January 2016

Syukur.. Kita Masih Punya Nyawa

Dua minggu lepas dimulai dengan berita kematian. Awal-awal pagi Isnin, berita kematian pertama diterima, suami rakan sekerja meninggal dalam usia yang muda. Melihat raut wajah rakan sekerja yang masih muda dengan anak-anak yang masih kecil, sangat memilukan. Tidak puas si anak bermanja dengan si ayah. Tidak puas si ayah memanjakan anak, bila tiba ketikanya, semuanya berpisah jua. Sedia atau tidak, rela atau tidak. Ia tetap dan pasti berlaku.

Selepas menziarahi kematian pertama, terima pula berita adik ipar Mak Som sedang sakit tenat. Mak Som sekeluarga sangat dekat di hati. Mak Som merupakan pengasuh setia keempat-empat anak kami. Maka sesiapa yang ada kena-mengena dengan Mak Som, kami anggap jua seperti saudara mara sendiri. Ketika berkira-kira untuk menziarah pada petang hari Selasa, petang itu juga diterima berita kematiannya. Ketika menziarah ke rumahnya, jenazah baru tiba dari hospital.  Lalu, Gem 1 memberi isyarat untuk tunggu sehingga jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan, selepas Isyak. Ketika itu baru sekitar pukul 4.30 petang. Saya masuk ke rumah, tanpa mengenali sesiapa yang lain. Mengambil tempat di sudut rumah yang hujung. Saya kira anak-anaknya sudah besar belaka. Tetiba, saya melihat kelibat seorang budak lelaki kecil di sisi jenazah. Tingginya, keletahnya, saiz tubuhnya seperti Gem 7. Sesekali air matanya mengalir laju. Sesekali tangannya mengusap-usap kaki arwah ibunya. Dari perbualan sekelililing... anak bungsu arwah ini sangat manja dengan ibunya. Tidurpun masih dipeluk ibu. 

Tanpa disedari, air mata saya mengalir sangat laju. Teresak-esak di sudut rumah itu. Kali ini saya seperti mencipta senario baru. Seolah-olah sayalah yang mati ketika itu. Aduh... apakah saya sudah melakukan semua kewajipan?. apakah saya sempat mengucap kalimah shahadah? Apakah yang saya rasa ketika itu.. adakah saya sedang meminta-minta ihsan Allah supaya diberi nafas barang seketika untuk menyebut SubhanAllah.. kerana ketika itu saya sudah nampak balasannya yang tidak terkira banyak? Atau adakah saya ketika itu memohon ihsan untuk dihidupkan semula.. untuk menghargai apa sahaja yang ada di depan mata? Apakah saya juga sedang meminta-minta untuk hidup barang seketika, mencium sepuas-puas hati anak yang sedang mengusap kaki ketika itu?

Lalu, saya melihat pula telatah anak yang baru yatim itu. Apakah yang dirasanya? Barangkali beliau akan sanggup dileteri sepanjang hidup asalkan ibunya hidup kembali. Atau mungkin sanggup mengerjakan apa sahaja suruhan ibu selamanya.. jika ibu dapat hidup semula.

Dari jauh saya memerhati di sebalik deraian air mata. Sesekali, saya terlihat anak sulungnya memandang ke arah saya dengan kehairanan. Siapa saya? Bukan kerabat atau sedara mara. Bukan sahabat atau rakan sekerja. Tetapi air mata yang gugur sama sepertinya ... anak sulung arwah si mati. Dia tidak mungkin akan tahu yang ketika itu saya meletak diri saya sebagai jenazah ibunya. Yang sedang diulik oleh anak-anak-anak sendiri.

Ekor mata saya sentiasa menuruti kelibat anak bungsu arwah si mati. Melihat dia bertafakur di sisi si mati. Melihat dia diajak untuk melihat ibunya dimandikan. Melihat dia diajak menyembahyang jenazah ibunya. Melihat dia ke van jenazah mengiringi ibunya untuk kali terakhir. Esakan saya semakin tinggi.. sehingga kelibatnya hilang di dalam kepekatan malam.

Ketika masing-masing beredar... saya seperti terjaga dari mimpi dan rasa amat bersyukur kerana saat ini saya masih punya nyawa. Satu pemberian Allah yang sangat berharga dan semakin menuju ke saat akhir. Ayuh... kerana kita masih punya nyawa... kita masih punya kesempatan untuk mengumpul dana hidup di alam sana.

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (79)", Al-Isra', Ayat 79.

Semoga kediaman akhir kita semua di Syurga paras tinggi. Aamiinn.

Wednesday, 30 December 2015

Selamat Tinggal 2015

Selamat tinggal 2015. Setahun lagi sudah berlalu. Seperti baru semalam menghamparkan pelbagai harapan, keinginan, impian, cita-cita, keazaman dan berbagai lagi yang tidak terucap dan tersirat.

Selamat tinggal Mak. Rupa-rupanya tahun 2015 menjadi sempadan masa antara seorang anak dan ibunya.

Semoga tahun 2016 membawa sinar yang lebih cerah.

Thursday, 17 December 2015

Menjadi Minimalis

Apa itu minimalis?  Kerap benar terdengar perkataan itu sejak kebelakangan ini. Pada sesetengah kelompok, minimalis digunakan dalam karya dan rekabentuk. Tidak kira rekabentuk apa - poster? Rumah? Bilik? Iklan? Kebun? Kasut? Baju? Ada kalanya rasa sangat tertarik dengan rekabentuk itu. Ringkas tapi cantik.

Lalu, saya mencari apakah yang dikatakan minimalis itu. Asasnya konsep minimalis ini telah lama diutarakan iaitu sekitar tahun 1960an.  Ia sudah lebih separuh abad. Minimalis bolehlah digambarkan sebagai satu konsep yang memberi tumpuan kepada yang perlu sahaja dan membuang unsur-unsur yang tidak perlu diberi perhatian. Ia berasaskan objektif dan bagaimana untuk mencapai objektif itu secara minima. Jika rumah berserabut dengan segala perhiasan di sana sini, aplikasi konsep minimalis akan menjadikan rumah itu hanya diletakkan perabut keperluan sahaja. Hiasanpun mengambil ruang yang minima. Sekali pandang, hati tenang. Agaknya itulah konsep yang dipakai di bilik-bilik hotel. Ringkas, kemas dan tenang.

Namun, minimalis membawa saya menganalisa kepada Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW kita. Bukankah beliau seorang yang minimalis? Berapa pasang jubah yang dimilikinya? Apakah yang ada di rumahnya? Dari ceramah-ceramah perihal kehidupan baginda, bukankah nabi kita yang terakhir itu seorang manusia yang memperkenalkan dan mengamalkan konsep minimalis? Malah, sahabat-sahabatnya yang kaya raya telah mensedekahkan sebahagian besar harta dan hidup dengan harta yang sangat minima. Begitulah. Ketika kita kagum dengan konsep moden, konsep kontemporari... rupa-rupanya Islam sudah telah memperkenalkan dengan contoh terbaik sejak lebih daripada 1400 tahun dahulu!

Tetapi, kenapa kita tidak tertarik? Saya kira ia bergantung kepada bagaimana kita mempraktikkan. Kita merujuk minimalis kepada zuhud. Seringkali cara zuhud dilaksanakan tidak meletak ke tahap profesional, glamor dan elegan. Seringkali yang mengaku mengamalkan zuhud berbaju comot, lusuh dan serebeh. Berkenderaan buruk. Rambut / misai / tudung berserabai. Konsepnya bagus, tapi perlaksanaannya menggambarkan kehidupan zuhud itu perlu miskin dan compang-camping. Kasta hidup rendah.

Tidak bolehkah kita jadikan konsep zuhud itu seindah konsep minimalis? Kita boleh memiliki hanya 2 pasang baju, tetapi 2 pasang baju yang kita miliki dan pakai setiap hari itu kemas dan elegan? Tidakkah kita boleh berzuhud dalam memiliki kenderaan dengan hanya memiliki 1 sahaja bilangannya, tetapi kenderaan itu adalah yang terbaik yang kita mampu miliki? Tidakkah kita boleh berzuhud dalam memiliki hanya sebuah rumah, tetapi sebuah rumah terbaik yang kita mampu miliki? Maka, saya kira jika kita meletakkan zuhud pada tahap yang terbaik, ia bukan lagi satu kaedah hidup dalam Islam yang kurang diminati. Ia sepatutnya melebihi elegan konsep minimalis itu dan yang pasti mendapat Rahmat dan Keredhaan Ilahi. Dapat pahala ikut sunah lagi!

Mampukah saya menjadi minimalis? Sedang berkira-kira. Tetapi ia perlukan satu kekuatan yang luar biasa!


Tuesday, 15 December 2015

PT3 oh PT3: Penyupun boleh Terus Menangis!

Sudah tersurat, tahun ini saya juga mempunyai seorang anak yang perlu berdepan dengan kecelaruan PT3. Seperti tahun lepas. Ia bercelaru. Tahun ini celarunya lebih teruk. Jika penyu perlu mengambil PT3, maka sudah pasti ia akan terus menangis seperti menangis kehilangan telur-telurnya.

Tahun ini saya menyaksikan Sekolah Seksyen 7 tidak mendapat seorangpun pelajar yang mendapat 'straight As' daripada bilangan pelajar 442 orang. Khabarnya sekolah elit Seksyen 9 pun hanya mampu menghasilkan hanya seorang 'straight As'. Sudah tentu ia melemahkan harapan ibu bapa. Kerana bilangan A juga yang akan dipandang untuk meneruskan ke sekolah berasrama penuh.

Semalam, Gem 6 sibuk mengisi borang untuk ke asrama penuh. Amat terkejut kerana pilihan sekolah yang tertera hanya 6 sahaja daripada 69 buah yang ada! Berkali-kali mouse disorong untuk pilihan yang lebih. Ia tidak bergerak. Hanya itulah pilihan. Lalu, ketika hari larut malam, saya terus menalipon rakan sekolah yang hampir. Meminta pandangan. Beliaupun terkejut dengan keadaan itu, lalu menalipon seseorang yang lain. Lalu, seseorang itu memberitahu bahawa para pengetua sekolah berasrama penuh sudah membuat keputusan untuk tidak mengambil pelajar untuk ke tingkatan 4 kerana tidak percaya kepada keputusan PT3. Lalu, keluar pula cerita-cerita bahawa ada sekolah-sekolah yang 2 bulan lebih awal telah meneliti dan memberi peluang pelajar mencuba-cuba menjawab soalan PT3. Ia mungkin cerita. Tapi di negaraku yang tercinta ini, cerita-cerita dongeng itulah yang selalu menjadi nyata.

Ada pula yang berkata, penutupan ambilan itu kerana kita sudah kehabisan wang untuk mentadbir. Lalu, hati kecil saya bertanya dan bertanya ... ketika hasil negara melimpah ruah - minyak, balak, getah, timah dan air juga dijual, duitnya hilang di mana? Siapa yang menjaga? Siapa yang berkata menjaga segala ketuanan kita, tapi akhirnya hilang satu per satu di depan mata? Seperti anak bangsa kita hilang duit biasiswa, diganti dengan sistem pinjaman pelajaran yang menekan kehidupan anak-anak muda. Kali ini, anak bangsa kita juga yang tidak dapat berpeluang ke sekolah asrama, kerana caca merba yang ada. Lalu, tuan manakah yang dijaga? Hati saya bertanya dan terus bertanya... 

Saat ini hati saya terus menangis.. bukan sekadar kecelaruan PT3... tapi pada nasib kita yang seterusnya. Ya Allah bantulah kami. Berilah kami jalan untuk kebuntuan yang dicipta oleh manusia-manusia ini. Pasrah.

Tuesday, 8 December 2015

Kita yang Merancang

Setiap hari kita akan merancang sesuatu. Kadang kala ia dinyatakan dengan kata-kata, kadang kala ia dinyatakan secara bertulis dan kadang-kadang ia hanya disebut di hati. Kerap kali juga rancangan sering berbaur dengan angan-angan. Rancangan perlu ada perlaksanaan, sedangkan rancangan akan segera bertukar menjadi angan-angan jika ia kekal tanpa sebarang usaha.

Seperti Gem 6 teringin sangat untuk memiliki threadmill. Katanya, berat badan beliau akan berkurangan jika ada alatan itu nanti. Namun, untuk menyampaikan hajat beliau, selalu tergendala. Atau sangat berkira-kira. Hendak dibeli versi elektronik, bukan setakat harganya yang mahal tetapi saiznya besar. Sehingga tidak tahu di mana hendak diletakkan. Jika ingin membeli yang manual sahaja, tidak pula dijual di kedai-kedai peralatan sukan. Yang ada pilihan, cuma belian secara online. Tetapi gusar pula, takut-takut bila barang sampai, tidak kena dengan kehendak. Di mana pula hendak dibuang. Persoalan-persoalan itu berlegar-legar di kepala. Sehinggakan Gem 6 sudah bosan menunggu. Sedangkan saya pula sudah mula ingin marah. Tidak tahu pada siapa. Tetapi yang pasti kepada kelewatan untuk membeli satu sahaja barang. Bukannya beribu-ribu barang.

Dua hari lepas, saya ke rumah anak saudara yang berdekatan. Kakak ipar memerlukan sedikit urutan kerana kesakitan untuk mengangkat tangan. Bagi saya inilah peluang keemasan untuk mempraktikkan satu kemahiran baru yang diperolehi. Lucu ya dalam hidup ini. Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki kemahiran baru yang satu ini. Tetapi sudah tersurat! Ketika berbual-bual, tetiba terkeluar isu untuk memiliki threadmill. Rupa-rupanya anak saudara memiliki alatan itu dan ingin pula melupuskannya atas alasan mereka akan berpindah ke rumah yang lebih kecil. Akhirnya, alatan yang berbulan disebut-sebut itu dibawa pulang dengan senang dan secara percuma. Sedangkan niat untuk membelinya sudah tertanam berbulan-bulan seperti ada halangan untuk berbuat demikian. Sebelum pulang ke rumah pada malam itu, terpacul kata-kata dari anak saudara, "Ya.. kita tidak tahu perancangan Tuhan... kita merancang.. tapi DIA juga merancang untuk kita". Sungguh... Allah MAHA Mendengar... biarpun hanya sekecil-kecil permintaan! Dan DIA mengatur aturan yang MAHA Sempurna.